dokumen tambahan :
http://netload.in/dateihjr9K90jGJ/sahwah.ar-rajul.al.maridh.7z.htm 27.96 MB
link asal:
http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2694-sn252-arab-saudi-dan-pengkhianatan-keluarga-saud
ARAB SAUDI DAN PENGKHIANATAN KELUARGA SAUD
[SN252] Angin
perubahan di negara-negara Arab nampaknya semakin bertiup kencang dan
kini telah mula menerjah ke Arab Saudi. Walaupun ia baru menampakkan
bayangnya, namun arus kebangkitan yang bermula dari Tunisia ini sudah
cukup untuk menakutkan penguasa Saudi. Arab Saudi menyaksikan
perhimpunan rakyat yang pertama pada hari Jumaat lepas sebagai tanda
tidak puas hati terhadap pemerintahan beraja keluarga Saud yang telah
mencengkam bumi kelahiran Rasulullah itu sejak tahun 1932. Kementerian
Dalam Negeri Arab Saudi menegaskan pada hari Sabtu lalu (5/3/2011)
bahawa tindakan berdemonstrasi adalah dilarang di dalam kerajaan Arab
Saudi kerana ia “bertentangan dengan syariat Islam.” Kementerian
menyatakan bahawa pasukan keamanan mempuyai kuasa untuk mengambil “semua
langkah-langkah” untuk mencegah “usaha-usaha yang mengganggu rejim”,
demikian menurut sumber berita rasmi Arab Saudi.
Jurucakap kementerian juga menegaskan dalam sebuah kenyataan bahawa
“peraturan yang diguna pakai dalam negara dengan tegas melarang segala
bentuk demonstrasi, masirah (long march), mogok dan juga seruan, kerana
semua itu bertentangan dengan prinsip syariat Islam, nilai-nilai dan
norma masyarakat Saudi.” Kenyataan tersebut mengatakan bahawa “pasukan
keamanan sebagai alat rejim mempunyai kuasa untuk mengambil segala
langkah-langkah yang diperlukan terhadap setiap usaha yang menggangu
gugat rejim dengan apa jua cara sekalipun dan mengambil tindakan
terhadapnya.” Menurut jurucakap itu lagi, langkah-langkah ini diambil
memandangkan wujudnya usaha beberapa pihak untuk menghapuskan peraturan,
arahan dan prosedur yang berkaitan dengan perkara tersebut bagi
mewujudkan tujuan-tujuan yang tidak sah, iaitu merujuk kepada tindakan
demonstrasi yang telah diadakan sebelum ini atau yang sedang dirancang
oleh para aktivis untuk diadakan di Arab Saudi [moheet.com, 6/3/2011].
Arab Saudi merupakan salah sebuah negara di dunia Islam yang sangat
strategik, terutama sekali kerana di negara tersebut terdapat Baitullah
di Makkah yang menjadi pusat ibadah haji kaum Muslimin di seluruh dunia.
Malah sejarah dan perjalanan Islam itu sendiri sememangnya tidak boleh
dipisahkan dari wilayah Hijjaz itu kerana di sanalah Rasulullah SAW
dilahirkan dan di sanalah Islam bermula sehingga menjadi peradaban besar
dunia. Arab Saudi juga sering menjadi rujukan dalam bidang pendidikan
Islam kerana di negara tersebut terdapat beberapa pusat pendidikan ulung
seperti Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah dan Ummul Qura di Makkah
yang menjadi tempat belajar ramai pelajar Islam dari seluruh dunia. Dari
negara ini jugalah, munculnya gerakan Wahabi yang banyak membawa
pengaruh dalam dunia Islam. Lebih jauh lagi, Saudi sering dianggap
sebagai representasi model negara Islam yang berdasarkan al-Quran dan
Sunnah. Itu dari satu sisi. Namun di sisi yang lain, Saudi juga
merupakan negara yang paling banyak dikritik oleh dunia Islam. Sejak
dari awal pembentukannya, negara ini dianggap sebagai pemberontak
terhadap Khilafah Utsmaniyah. Sejarahnya juga penuh dengan pertumpahan
darah terhadap lawan-lawan politiknya. Banyak pihak menjadi saksi
terhadap tindakan keras yang dilakukan oleh rejim ini terhadap
pihak-pihak yang menentang kekuasaan keluarga Saud. Bukan itu sahaja,
Saudi juga dikecam kerana menyediakan negaranya untuk menjadi pangkalan
militer AS. Kehidupan keluarga kerajaan Saud yang penuh dengan kemewahan
yang melampau juga banyak menjadi perbincangan. Secara ekonominya,
Saudi juga menjadi dambaan negara-negara kuasa besar dunia disebabkan
faktor kekayaan minyaknya yang luar biasa.
Memberontak Terhadap Khilafah, Bersekutu Dengan British
Secara rasmi, Arab Saudi meraikan kemerdekaannya pada tanggal 23
September setiap tahun. Pada tarikh tersebut pada tahun 1932, Abdul Aziz
(yang terkenal dengan gelaran Ibnu Saud) telah mengisytiharkan
berdirinya Kerajaan Saudi Arabia (al-Mamlakah al-‘Arabiyah
as-Su‘udiyah), sekaligus menghapuskan nama tanah ‘Hijjaz’ yang dikenali
umat Islam selama ini. Abdul Aziz pada waktu itu berhasil menyatukan
daerah-daerah kekuasaannya iaitu Riyadh, Najd, Ha-a, Asir dan Hijaz. Dia
juga berjaya memanfaatkan fahaman Wahabi untuk mendukung kekuatan
politiknya. Sejak awal lagi, dinasti Saud secara terbuka telah
mengumumkan dukungannya dan menerima pakai sepenuhnya pemikiran Wahabi
yang dicetuskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang kemudiannya
dikenali dengan gerakan Wahabi. Dukungan ini kemudian menjadi kekuatan
baru bagi dinasti Saud untuk melakukan penentangan terhadap Daulah
Khilafah.
Gerakan Wahabi dan penguasa Saudi muncul pertama kali pada abad ke-18 di
tengah-tengah keadaan yang kurang menguntungkan bagi Khilafah
Utsmaniyah, baik secara internal mahupun eksternal. Secara internal,
kelemahan Khilafah mulai membesar pada abad ke-18 disebabkan oleh
buruknya penerapan hukum-hakam Islam, wujudnya pemikiran-pemikiran asing
(seperti nasionalisme dan demokrasi) yang berjaya mengaburkan ajaran
Islam dalam benak umat Islam dan lemahnya kefahaman Islam yang sangat
ketara dengan adanya vakum ijtihad [Taqiyuddin An-Nabhani, Ad-Daulah
Al-Islamiyyah, hal. 177].
Secara eksternal, negara-negara Eropah seperti British, Perancis dan
Itali telah dan sedang berkonspirasi untuk menghancurkan Khilafah
Utsmaniyah. Negara-negara Eropah tersebut berkali-kali berkumpul dan
bersidang untuk membahaskan persoalan-persoalan yang mereka sebut
sebagai Masalah Timur (al-mas’alah al-syarqiyyah). Hal ini dilakukan
dengan tujuan untuk memecah dan membahagi-bahagikan tanah wilayah
Khilafah mengikut kehendak mereka. Meskipun mereka tidak berhasil
mencapai kata sepakat dalam pembahagian tanah tersebut, namun mereka
sebulat suara bersetuju dalam satu perkara, iaitu Khilafah mesti
dihapuskan. Demi menghancurkan Khilafah, negara-negara Eropah itu
melakukan pelbagai bentuk serangan sehingga terpecah-belahlah
wilayah-wilayah Khilafah. Selain Rusia yang yang telah menjajah
Turkistan tahun 1884 dan berjaya memisahkannya dari wilayah Khilafah,
Perancis sebelum itu telah menjajah Syam (Ghaza, Ramalah, dan Yafa) pada
tahun 1799. Perancis juga telah merampas Al-Jazair (Algeria) tahun
1830, Tunisia tahun 1881 dan Marakesh (Maghribi) tahun 1912. Itali tidak
ketinggalan dalam menduduki Tripoli (Libya) tahun 1911. Sementara
British menguasai Mesir tahun 1882 dan Sudan tahun 1898 [Taqiyuddin
An-Nabhani, Ad-Daulah Al-Islamiyyah, hal. 206-207].
Demikianlah serangan militer yang telah dilancarkan oleh Eropah untuk
menghancurkan Khilafah dengan cara melakukan pemecahan
wilayah-wilayahnya satu demi satu. Selain usaha langsung yang dilakukan
dari luar, pelbagai cara juga telah ditempuh oleh Eropah untuk
menghancurkan Khilafah dari dalam. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di
dalam bukunya Kaifa Hudimat al-Khilafah (Bagaimana Khilafah
Dihancurkan), terdapat empat cara yang digunakan iaitu: (i) meniupkan
fahaman nasionalisme (ii) mendorong gerakan pemisah/separatisme (iii)
memprovokasi umat untuk memberontak terhadap Khilafah (iv) memberi
dukungan senjata dan dana untuk menentang Khilafah. Keempat-empat cara
inilah yang telah digunakan oleh British untuk memukul Khilafah dari
dalam melalui ejennya Abdul Aziz bin Muhammad bin Saud (w. 1830), yang
mana si ejen ini memanfaatkan pula gerakan Wahabi untuk tujuan
menghancurkan Khilafah. Seluruh usaha ini mendapat dukungan dana dan
senjata dari British. Adapun dukungan gerakan Wahabi terhadap Abdul
Aziz, ia sebenarnya terbentuk jauh sebelum itu iaitu sejak tahun 1744
ketika terjadinya kontrak politik antara ayah Abdul Aziz (Muhammad bin
Saud) dengan pelopor gerakan Wahabi, Muhammad bin Abdul Wahhab. Kontrak
politik ini berlangsung di kota Dir’iyyah, sehingga sering dikenali
sebagai ‘Baiah Dir’iyyah’ [Tarikh Al-Fakhiri, tahqiq Abdullah bin Yusuf
Asy-Syibl, hal. 25].
Melalui kontrak politik itu, Muhammad bin Saud mendeklarasikan
dukungannya terhadap pemikiran dan gerakan Wahabi dan menerapkannya
dalam wilayah-wilayah kekuasaannya. Dengan deklarasi ini, gerakan Wahabi
yang sebelum ini hanya dikenali sebagai sebuah kumpulan dakwah telah
berubah menjadi gerakan dakwah kekuasaan. Implikasinya, fahaman Wahabi
yang sebelum ini hanya disebarkan melalui dakwah yang murni telah
bertukar dengan disebarkan secara paksaan menggunakan kekerasan terhadap
penganut mazhab-mazhab yang lain, terutamanya penganut mazhab Syafi’i
[Kaifa Hudimat Al-Khilafah, hal. 16]. Ditambah dengan dukungan dana dan
senjata dari British, penguasa Saudi dan puak Wahabi bahu-membahu
memerangi dan menduduki negeri-negeri Islam yang berada dalam kekuasaan
Khilafah. Dengan ungkapan yang lebih tegas, sebenarnya mereka telah
memberontak terhadap Khalifah dan memerangi pasukan Amirul Mukminin
dengan provokasi dan dukungan dari British [Kaifa Hudimat Al-Khilafah,
hal. 13].
Penguasa Saudi dan Wahabi telah menyerang dan menduduki Kuwait pada
tahun 1788, lalu menuju ke utara sehingga mengepung Baghdad, menguasai
Karbala dan perkuburan Hussein (cucu Nabi SAW) di sana untuk
menghancurkan kubur tersebut dan melarang orang ramai daripada
menziarahinya. Pada tahun 1803, mereka menduduki Makkah dan tahun
berikutnya (1804) mereka berjaya menduduki Madinah dan merobohkan
kubah-kubah besar yang menaungi kubur Rasulullah SAW. Setelah menguasai
Hijjaz, mereka menuju pula ke utara (Syam) dan mendekati Hims. Mereka
berhasil menguasai banyak wilayah di Syria sehingga ke Halab (Aleppo)
[Muwaffaq Bani Al-Marjih, Shahwah ar-Rajul Al-Maridh, hal. 285]. Menurut
Zallum, serangan militer ini sebenarnya adalah tindakan imperialis
British, kerana sudah diketahui umum bahawa penguasa Saudi adalah ejen
British. Jadi, British telah memanfaatkan penguasa Saudi yang seterusnya
memanfaatkan pula gerakan Wahabi untuk memukul Khilafah dari dalam dan
mengobarkan perang saudara antara mazhab dalam tubuh Khilafah. Cumanya,
seperti yang telah dijelaskan lebih awal, para pengikut gerakan Wahabi
tidak begitu menyedari hakikat bahawa penguasa Saudi sebenarnya adalah
ejen British. Mengapa? Ini adalah kerana menurut Zallum, hubungan yang
terjadi bukanlah antara British dengan Muhammad bin Abdul Wahhab secara
langsung, tetapi antara British dengan Abdul Aziz, kemudian antara
British dengan anak Abdul Aziz, iaitu Saud bin Abdul Aziz [Kaifa Hudimat
Al-Khilafah, hal. 14).
Persahabatan Dengan AS
Persahabatan Saudi dengan Amerika Syarikat (AS) bermula dengan penemuan
telaga minyak di negara tersebut. Pada 29 Mei 1933, Standard Oil Company
dari California telah diberi konsesi minyak selama 60 tahun oleh
penguasa Saudi. Perusahaan ini kemudian berubah nama menjadi Arabian Oil
Company pada tahun 1934. Pada mulanya, pemerintah AS tidak begitu
peduli dengan Saudi. Namun, setelah melihat potensi minyak yang begitu
besar di negara tersebut, AS dengan agresif berusaha untuk merangkul
Saudi. Pada tahun 1944, Jabatan Luar Negeri AS menggambarkan Saudi
sebagai ‘a stupendous source of strategic power and the greatest
material prize in the world’s history’ (sumber yang menakjubkan dari
kekuatan strategik dan hadiah material yang terbesar dalam sejarah
dunia). Untuk kepentingan minyaknya, wakil khas perusahaan Aramco, James
A. Moffet, menemui Presiden Roosevelt (April 1941) untuk mendorong
pemerintah AS memberikan pinjaman hutang kepada Saudi. Hutang inilah
yang menjerat Saudi menjadi ‘hamba’ kepada AS. Pada tahun 1946, Bank
Eksport-Import AS memberikan pinjaman kepada Saudi sebanyak 10 juta
dolar. Bukan itu sahaja, AS juga terlibat secara langsung dalam
‘membangunkan’ Saudi menjadi negara moden. Antaranya dengan memberikan
pinjaman sebanyak 100 juta dolar untuk pembangunan landasan kereta api
yang menghubungkan ibukota dengan pantai timur dan barat. Hutang yang
terlalu besar ini kemudiannya semakin menjerat Saudi dengan lebih parah.
Konsesi lain yang diwujudkan melalui persahabatan Saudi-AS ini adalah
penggunaan pangkalan udara selama tiga tahun oleh AS pada tahun 1943,
yang sehingga kini ia terus dilanjutkan. Pangkalan Udara Dhahran
merupakan pangkalan militer AS yang paling besar dan paling lengkap di
Timur Tengah. Pangkalan inilah yang menjadi pangkalan strategik AS untuk
menyerang negara kaum Muslimin Iraq dalam Perang Teluk II, dan ia terus
beroperasi sehingga saat ini. Penguasa dari kalangan keluarga kerajaan
Saudi dengan ‘sukarela’ membiarkan wilayahnya dijadikan pangkalan AS
untuk membunuh sesama Muslim. Pada tahun 1947, ketika Putera Mahkota
Emir Saud berkunjung ke AS, dia menerima penghargaan Legion of Merit
atas khidmat jasanya kepada sekutu (AS) di sepanjang tempoh peperangan.
Hingga kini, persahabatan Saudi dan AS terus berlangsung di mana Saudi
senantiasa menyerahkan sepenuh taat setianya dan juga menyerahkan
seluruh nyawa umat Islam kepada AS. Seluruh dunia menjadi saksi akan
pengkhianatan penguasa Saudi terhadap umat Islam dan keakrabannya dengan
AS yang merupakan musuh kaum Mukminin.
Salah satu kehebatan Arab Saudi selama ini adalah kejayaannya dalam
menipu kaum Muslimin, dengan menonjolkan seolah-olah negaranya merupakan
cerminan negara Islam yang menerapkan al-Quran dan Sunnah. Keluarga
kerajaan Saud sering menampilkan diri mereka sebagai pelayan umat hanya
kerana di negara mereka terdapatnya dua tanah suci, Makkah dan Madinah
yang tidak putus-putus dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia.
Saudi juga banyak memberikan bantuan kepada kumpulan-kumpulan Islam dan
negeri-negeri umat Islam tertentu demi menonjolkan imej baik mereka
sebagai ‘pelayan umat’ dan penjaga dua tanah haram (Khadim al-Haramain).
Akan tetapi, dia lupa bahawa imej baik itu sesungguhnya semakin pudar
hasil persahabatannya dengan AS sehingga sanggup mengorbankan dan
mengkhianati kaum Muslimin. Seluruh dunia tahu bahawa Arab Saudi adalah
pendukung penuh AS baik secara politik mahupun ekonomi dalam Perang
Teluk II. Saudi juga menyokong serangan AS ke atas Afghanistan dan
berada di sisi AS untuk memerangi teroris. Sudah terlalu nyata bahawa
Saudi sentiasa berganding tangan dengan AS dalam kempen AS memerangi
pengganas (baca: umat Islam).
Selain keakrabannya dengan syaitan besar AS, Saudi juga amat terkenal
kejamnya terhadap gerakan-gerakan Islam yang mengkritik kekuasaannya.
Ramai ulama yang berani dan soleh yang dipenjarakan hanya kerena
mengkritik keluarga kerajaan dan pengurusannya terhadap umat. Selain
itu, sikap joli keluarga Saud dengan gaya hidup kapitalisme sangat
menyakitkan hati umat Islam. Mereka berjoli dengan segala kemewahan yang
melimpah ruah, manakala pada saat yang sama mereka membiarkan rakyat
mereka, rakyat Iraq, rakyat Palestin dan lain-lain hidup menderita
akibat tekanan ekonomi, penindasan dari penguasa sendiri dan juga
tekanan dari AS. Kerajaan Saudi tidak akan berkompromi dengan mana-mana
rakyat yang mengkritiknya, malah kewujudan parti politik juga diharamkan
sama sekali sejak dari mula ia memerintah lagi. Dalam masa yang sama,
atas alasan menjaga keamanan keluarga dan kerajaan, mereka menghabiskan
jutaan dolar dalam melakukan kerjasama militer dengan AS dan menempatkan
(ketika ini) lebih daripada 5000 anggota tentera AS di Arab Saudi.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya senarai pengkhianatan keluarga Saud
tehadap umat Islam ini amatlah panjang yang tidak akan habis untuk
diungkapkan. Begitulah kerajaan Saud...semasa mereka merampas kekuasaan
dari Khilafah yang sah dahulu melalui rampasan kuasa secara kekerasan,
mereka tidak pernah bertanya sama ada hal itu bertentangan dengan
syariat Islam ataupun tidak (walhal hal itu jelas-jelas bertentangan
dengan Islam). Lalu kini, mereka mengatakan bahawa sesiapa yang cuba
untuk melakukan demonstrasi kerana ingin menggulingkan kerajaan, hal ini
adalah tidak sah menurut syarak!!! Justeru, sedarlah wahai kaum
Muslimin terhadap pengkhianatan dan putar belit penguasa Saudi dan juga
penguasa-penguasa umat Islam yang lain. Mereka telah memerintah umat
Islam dengan menggulingkan pemerintahan Khilafah yang sah dahulu, lalu
mereka mengatakan bahawa rampasan kuasa, pemerintahan serta sistem kufur
yang mereka terapkan selepas itu sebagai ‘sah’!!! Sedarlah wahai kaum
Muslimin bahawa kita semua kini perlu dan wajib kembali kepada sistem
pemerintahan yang sebenar, dan satu-satunya sistem pemerintahan Islam
yang sah menurut syarak adalah sistem Khilafah. Buanglah kesemua rejim
yang menindas kalian selama ini dan InsyaAllah penggantian rejim dan
sistem ini (dari sistem kufur kepada sistem Islam) akan berlaku apabila
kalian semua menginginkannya. Keputusan adalah di tangan kalian. Walau
sehebat dan sekuat mana sekalipun rejim yang memerintah, kalian
sesungguhnya berkuasa untuk merobohkannya jika kalian ingin berbuat
demikian. Maka marilah kita sama-sama meruntuhkan sistem kufur ini
melalui thariqah (jalan) sebagaimana Rasulullah SAW telah meruntuhkannya
di Makkah dahulu, sehinggalah Daulah Islam tertegak secara sah di muka
bumi ini.